Pendakwa Raya v Pong Weng Poh
Criminal Appeal No. W-05(S)-236-08/2014; Court of Appeal
Date of Judgment: 30 July 2015 | Source: Federal Court Registry

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA

(BIDANG KUASA RAYUAN)

RAYUAN JENAYAH NO: W-05(S)-236-08/2014

ANTARA

PENDAKWA RAYA ... PERAYU

DAN

PONG WENG POH ... RESPONDEN

[Dalam Perkara Mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45A-76-12/2013

Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur

Antara

Pendakwa Raya

Dan

Pong Weng Poh]

KORAM: MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR; AHMADI BIN HAJI ASNAWI, HMR; ABDUL RAHMAN BIN SEBLI, HMR

ALASAN PENGHAKIMAN

[1] Ini adalah Rayuan oleh Pendakwa Raya yang tidak berpuashati terhadap hukuman penjara dua belas (12) tahun atas pengakuan bersalah Tertuduh di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (ADB). Kami setelah mendengar hujah-hujah dan meneliti Rekod Rayuan, bersetuju sebulat suara membenarkan rayuan Pendakwa Raya.

[2] Responden/Tertuduh pada mulanya telah dituduh mengedar dadah berbahaya seberat 28.4 gram (18.2 gram heroin dan10.2 gram Monoacetylmorphines) di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang boleh dihukum mati mandatori.

[3] Kemudiannya pada tarikh perbicaraan 9 Julai 2014, Pendakwa Raya telah menawarkan pertuduhan pilihan di bawah seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta yang sama.

[4] Pertuduhan Pilihan:

"Bahawa kamu pada 22.08.2013 jam lebih kurang 7.30 petang di tempat letak kereta, Jalan Pekeliling Off Jalan Tun Razak, dalam Daerah Sentul, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memiliki dadah berbahaya iaitu 28.4 gram (18.2 gram heroin dan 10.2 gram Monoacetylmorphines) dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama."

[5] Fakta Kes:

1. Pada 22.8.2013 jam lebih kurang 7.30 petang, Pengadu iaitu lnspektor Suresh D. Muniandy bersama anggotanya dari lbu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Bahagian Narkotik telah menjalankan "Ops Tapis" di kawasan Jalan Pekeliling Off Jalan Tun Razak.

2. Pengadu membuat pemerhatian dan menghampiri Tertuduh serta kenalkan diri sebagai polis. Tertuduh pada masa itu sedang memegang satu beg warna merah.

3. Terkejut dengan kehadiran pihak polis, Tertuduh cuba melarikan diri dan mencampakkan beg yang dipegangnya.

4. Pengadu mengarahkan anggotanya mengejar Tertuduh manakala pengadu mengambil beg yang dicampakkan oleh Tertuduh.

5. Tertuduh Berjaya ditangkap dan pemeriksaan lanjut telah dibuat. Beg yang dicampakkan telah dibuka di hadapan Tertuduh dan didapati di dalamnya satu beg kertas.

6. Dalam beg kertas ini terdapat 3 bungkusan surat khabar dimana setiap satunya berisi paket plastik disyaki dadah. Pengadu merampas semua barang kes tersebut dan menahan Tertuduh.

7. Pengadu kemudian menyerahkan semua barang kes dan Tertuduh kepada Pegawai Penyiasat iaitu lnspektor Kumbat Anak Tan.

8. Pegawai penyiasat telah menghantar barang kes ke Jabatan Kimia Petaling Jaya dan disahkan oleh ahli Kimia Puan Norhaya Binti Jaafar bahawa kandungan dadah dalam semua peket plastik adalah sebanyak 18.2 gram Heroin dan 10.2 gram Monoacetylmorphines.

9. Hasil siasatan, fakta kes dan pengakuan Tertuduh, maka Tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A (2) Akta yang sama.

[6] Fakta kes ini telah diakui oleh Tertuduh. Di dalam rayuan memohon hukuman ringan, Tertuduh menyatakan:

Mitigasi Tertuduh:

1. Tertuduh berumur 53 tahun.

2. Tertuduh masih bujang dan tidak pernah berkahwin.

3. Tertuduh mempunyai lapan (8) orang adik-beradik termasuk beliau.

4. Keluarga Tertuduh seramai lima (5) orang telah hadir di mahkamah pada tarikh jatuh hukum.

5. Tertuduh tidak mendapat pendidikan disebabkan oleh kemiskinan.

6. Tertuduh telah bergaul dengan rakan sebaya yang terjerumus dalam kancah dadah.

7. Tertuduh pernah dihantar dua (2) kali ke pusat pemulihan untuk mengelakkan diri dari ketagihan meskipun tidak berjaya.

8. Tujuan pemilikan dadah adalah untuk penggunaan sendiri.

9. Sekiranya Tertuduh diberi hukuman penjara 8 hingga 10 tahun, ketika itu umur Tertuduh akan 60 tahun dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

10. Kesalahan Tertuduh tidak menimbulkan sebarang keganasan kepada orang awam, tidak mendatangkan kecederaan kepada pihak lain dan kerugian harta kepada pihak ketiga.

11. Pohon hukuman penjara yang minimum dan berdasarkan Seksyen 289C Kanun Acara Jenayah (KAJ), pohon hukuman sebat dikecualikan.

[7] Manakala Timbalan Pendakwa Raya pula berhujah supaya hukuman berat dijatuhkan. Rekod Kesalahan Lampau Tertuduh telah dikemukakan dan ditandakan sebagai P13. Timbalan Pendakwa Raya berhujah bahawa Tertuduh amat bernasib baik kerana telah ditawarkan dengan satu pertuduhan pilihan. Kemiskinan keluarga bukan satu alasan yang baik untuk diambilkira sebagai factor mitigasi. Kesalahan Tertuduh melibatkan kepentingan awam; kes PP v Abdul Halim Ishak [2013] 9 CLJ 559 telah dirujuk di mana Mahkamah Rayuan telah menaikkan hukuman penjara dari tujuh (7) tahun kepada empat belas (14) tahun berhubung kes yang melibatkan 11,120 gram Cannabis.

Dapatan Hakim Bicara

[8] Hakim bicara di dalam penghakimannya di m.s. 14 menyatakan dapatan beliau iaitu:

1. OKT amat bernasib baik kerana dapat mengelakkan pertuduhan di bawah Seksyen 39B yang membawa hukuman mati mandatori. Mahkamah harap perkara ini dapat menginsafkan OKT.

2. OKT sepatutnya menghargai adik-beradik beliau yang masih hadir ke Mahkamah untuk memberi sokongan kepada OKT. Mereka mempunyai latar belakang yang sama seperti OKT, tetapi mereka tidak menggunakan alasan kemiskinan sebagai faktor untuk penyalahgunaan dadah. Maka Mahkamah tidak dapat mengambilkira kemiskinan keluarga sebagai suatu alasan mitigasi.

3. Mahkamah bukan sahaja perlu mengambil kira mitigasi OKT, tetapi juga kepentingan awam kerana OKT didapati mempunyai rekod kesalahan lampau.

4. Hukuman lampau penjara dua belas (12) bulan dan sepuluh (10) bulan yang pernah dijatuhkan terhadap OKT tidak menginsafkan beliau.

5. Mahkamah berharap satu tempoh pemenjaraan yang panjang dapat membuat OKT berhenti tabiat buruk penggunaan dadah.

[9] Adalah jelas dari dapatan di atas Hakim bicara bersetuju untuk memberi keutamaan kepada faktor kepentingan awam serta keseriusan kesalahan, malangnya faktor-faktor ini tidak ditunjukkan (manifest) di dalam hukuman penjara 12 tahun sedangkan hukuman maksimum adalah 30 tahun penjara. Tambahan lagi hukuman sebat tidak dikenakan kerana umur Tertuduh menurut peruntukkan Seksyen 289C KAJ. Hakim bicara dalam keputusan ringkas beliau menyatakan seperti berikut di m.s 14 dan 15 Rekod Rayuan:-

"In imposing sentence Court has to consider not just the accused's mitigation fact but also public interest as well as the accused previous conviction record which is quite impressive for wrong reason. All the 12 months and 10 months imprisonment and previous sentences obviously did not inspire him to change his ways. Hopefully a normal term of imprisonment will finally force you to stop this bad drugs habit. Taking all factors into consideration i.e the amount of drugs, public interest, and his previous conviction record, Court sentencing the accused to 12 years imprisonment to him from the date of arrest. No order of whipping as accused now 52 years old."

[10] Hujah Timbalan Pendakwa Raya adalah berdasarkan kepada fakta bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah "manifestly inadequate". Timbalan Pendakwa Raya mengingatkan Mahkamah oleh kerana Tertuduh tidak dikenakan hukuman sebatan kerana faktor umur, maka hukuman pemenjaraan yang lebih panjang adalah wajar dikenakan. Timbalan Pendakwa Raya telah mengemukakan "E-Sentencing Trend" bagi kes-kes yang melibatkan dadah jenis Heroin bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2):

i) Mohd Nazri bin Mansor v PP (J-05-19-02/2014 COA)

- Hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 kali sebat dikenakan untuk berat dadah 25.7 gram Heroin + Monoacetylmorphines.

ii) Moses Dominic v PP (A-05(S)-247-10/2012 COA)

- Hukuman penjara selama 18 tahun dan 10 kali sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan untuk berat dadah 133.7 gram Heroin + Monoacetylmorphines.

iii) PP v Arif Saidin (K-05(S)-261-10/2012 COA)

- Hukuman penjara selama 8 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dinaikkan kepada 18 tahun dan 10 kali sebat oleh Mahkamah Rayuan untuk berat dadah 17.09 gram Heroin + Monoacetylmorphines.

iv) PP v Ooi Teng Chian [2006] 1 MLJ 213

- Hukuman penjara selama 9 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dinaikkan kepada 15 tahun dan 10 kali sebat oleh Mahkamah Rayuan untuk berat dadah 149.6 gram Heroin + Monoacetylmorphines. Tertuduh adalah pesalah pertama.

v) Ang Chai Seng v PP [2000] 2 MLJ 35

- Hukuman penjara selama 18 tahun dan 10 kali sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan untuk berat dadah 81.4 gram Heroin + Monoacetylmorphines.

vi) Teoh Chin Hwa v PP [2000] 1 MLJ 687

- Hukuman penjara selama 18 tahun dan 10 kali sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan untuk berat dadah 156.3 gram Heroin + Monoacetylmorphines.

vii) PP v Zainal Tahir [2006] 7 CLJ 426

- Hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 kali sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan untuk berat dadah 30.96 gram Heroin + Monoacetylmorphines.

[11] Tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam di dalam hujahnya merayu supaya hukuman penjara dua belas (12) tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan. Beliau telah merayu bahawa beliau telah pun mengaku salah dan usianya sudah tua.

[12] Setelah meneliti Rekod Rayuan dan hujah kedua belah pihak kami sebulat suara bersetuju bahawa hukuman penjara 12 tahun berkuatkuasa dari tarikh tangkap adalah "manifestly inadequate". Daripada fakta kes didapati Tertuduh pernah menjalani hukuman penjara untuk kesalahan yang sama sebelum ini dan ia tidak menginsafkan beliau. Satu tempoh pemenjaraan yang panjang perlu untuk memberikan pengajaran kepada Tertuduh dan juga bakal pesalah. Kes PP v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315 dirujuk berhubung faktor kesalahan lampau oleh seseorang Tertuduh dalam memberikan hukuman pemenjaraan yang lebih panjang di mana Mohamad Azmi J menyatakan seperti berikut:-

"In the present case, the learned Magistrate failed to take into account that in the two previous convictions for opium offences, the respondent had been sentenced to one year imprisonment in April 1977 and six months' imprisonment in October 1979. The present drug offence was committed in November 1980. Coupled with the other three previous convictions involving thefts for which various terms of imprisonment were passed, the Magistrate should not have found the quantity of 0.21 grams of heroin (the subject-matter in the present charge) as a mitigating factor in the absence of other exceptional circumstances. On the contrary, this fact should have been taken against him on the ground that despite the sentence of imprisonment on the two previous drug offences, the respondent had continued to flout the law by promoting himself from being an illegal possessor of opium to one of heroin. In my view, the learned Magistrate had misdirected herself on the fact and the law, and the sentence of eight months' imprisonment is manifestly wrong and inadequate as a deterrent for the accused and as well as for would-be offenders. In the circumstances, I allow this appeal and enhance the sentence from eight months' imprisonment to eighteen months' imprisonment to take effect from date of his arrest."

[13] Berdasarkan kepada alasan di atas, kami sebulat suara membenarkan rayuan Pendakwa Raya. Kami mengenepikan Hukuman Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara selama lima belas (15) tahun berkuatkuasa dari tarikh tangkap.

MOHTARUDIN BIN BAKI
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia.

Bertarikh: 30 Julai 2015

Peguambela Perayu: Tidak diwakili.

Peguambela Responden: Kee Wei Loon,Timbalan Pendakwa Raya,Jabatan Peguam Negara,PUTRAJAYA.

Notice: The Publishers of MLTIC acknowledge the permission granted by the relevant official/original source for the reproduction of the above/attached materials. You shall not reproduce the above/attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Publishers and/or the original/official source. Neither the Publishers nor the official/original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/attached materials. The Publishers and the official/original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, MLTIC and contents herein are subject to the Terms of Use.