Jamilah Binti Bukhari v Affin Bank Berhad
Award No. 449 of 2015; Industrial Court
Date of Judgment: 16 April 2015 | Source: Industrial Court

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA

KES NO: 10(18)/4-215/11

PUAN JAMILAH BINTI BUKHARI

DAN

AFFIN BANK BERHAD

NO. AWARD: 449 TAHUN 2015

Di hadapan: Y.A DATO' RASIDAH BT HJ CHIK PENGERUSI

Tempat Award Dikeluarkan: MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA, CAWANGAN PERAK

Tarikh rujukan: 25.10.2010

Tarikh sebutan: 13.4.2011, 12.5.2011, 15.6.2011, 14.7.2011, 19.9.2011, 26.9.2011, 28.5.2012, 25.6.2012, 24.7.2012, 10.8.2012 & 13.5.2013

Tarikh Bicara: 28.5.2012, 13.5.2013 & 26.2.2014

Rujukan:

Ini adalah satu rujukan bertarikh 25 Oktober 2010 oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia, Malaysia di bawah Seksyen 20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967, berkaitan dengan pembuangan kerja Puan Jamilah binti Bukhari (selepas ini disebut sebagai Pihak Menuntut) oleh AFFIN BANK BERHAD ( selepas ini disebut sebagai Pihak Responden) pada 9 November 2009. Rujukan ini telah diterima oleh Bahagian Pendaftaran Mahkamah Perusahaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 1 Mac 2011.

AWARD

Latarbelakang Kes

[1] Pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian ini adalah Puan Jamilah Binti Bukhari (Pihak Menuntut) dan AFFIN BANK BERHAD (Pihak Responden). Pertikaian ini telah dirujuk ke Mahkamah ini oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia, Malaysia dibawah Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 melalui rujukan bertarikh 25 Oktober 2010.

[2] Perbicaraan kes ini telah dijalankan sepenuhnya di Mahkamah Perusahaan Malaysia Cawangan Pulau Pinang . Sebelum award dapat dikeluarkan, saya telah dipindahkan ke Mahkamah Perusahaan Cawangan Perak, dengan itu fail ini telah dipindahkan ke cawangan ini untuk kemudahan menyediakan award.

[3] Pihak Menuntut mula bekerja dengan Pihak Responden (sebelum ini Perwira Affin Bank) di cawangan Bukit Mertajam pada 8 Mei 2000 sebagai Special Grade Clerk dan gaji permulaan beliau adalah RM1499.00 sebulan. Jawatan terakhir yang disandang oleh Pihak Menuntut sebelum penamatan kerja adalah sebagai Customer Relationship Executive dan gaji terakhir beliau ketika itu adalah RM2555.00 sebulan termasuk elaun tetap sebanyak RM300.00.

[4] Pihak Responden telah menerima surat bertarikh 20 Julai 2009 dari Jabatan Insolvensi Malaysia (m.s 35-36 COB-1) yang memaklumkan kepada Pihak Responden bahwa Pihak Menuntut telah diisytiharkan menjadi seorang bankrap melalui Perintah Penerimaan dan Perintah Penghakiman bertarikh 10 Jun 2009 atas permohonan Alliance Bank Malaysia Berhad. Melalui surat tersebut juga, Jabatan Insolvensi memohon agar sejumlah RM200.00 ditolak dari akaun Pihak Menuntut setiap bulan. Jumlah ini adalah jumlah yang telah dipersetujui oleh Pihak Menuntut (m.s 34 COB-1) sebagai bayaran ansuran bulanan untuk estet kebankrapan beliau.

[5] Ekoran dari itu, Pihak Responden melalui surat bertarikh 31 Julai 2009 (m.s 13 COB-1), memaklumkan kepada Pihak Menuntut bahawa perkhidmatan beliau digantung dengan serta merta. Dalam tempoh penggantungan tersebut, beliau akan menerima gaji penuh bagi membolehkan siasatan dijalankan. Pihak Menuntut melalui surat bertarikh 11 Ogos 2009 (m.s 14 COB-1) telah mengemukakan rayuan agar keputusan penggantungan tersebut dikaji semula oleh Pihak Responden memandangkan beliau telahpun melantik peguam untuk memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah kebankrapan tersebut. Pihak Responden selanjutnya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab bertarikh 12 Oktober 2009 ( m.s 27-28 COB-1) kepada Pihak Menuntut. Melalui surat tersebut, Pihak Responden menyatakan Pihak Menuntut didapati telah melanggar peruntukan Seksyen 56 Akta BAFIA 1989 dan juga garispanduan Code of Conduct yang terpakai kepada semua kakitangan yang telah dikeluarkan pada 26 Jun 2006. Kandungan surat tunjuk sebab tersebut adalah seperti yang diperturunkan di bawah ini.

image 1

image2

[6] Pihak Penuntut telah mengemukakan jawapan kepada surat tunjuk sebab tersebut melalui surat beliau bertarikh 26 Oktober 2009 (m.s 29 COB-1). Pihak Menuntut tidak menafikan dakwaan-dakwaan yang dikenakan keatasnya. Beliau hanya memaklumkan beliau telah melantik peguam untuk memfailkan permohonan untuk mengenepikan Perintah Penerimaan dan Perintah Penghakiman tersebut. Beliau juga memohon agar Pihak Responden menangguhkan sebarang tindakan disiplin yang hendak diambil keatas beliau sementara menanti keputusan permohonan beliau itu. Kandungan surat jawapan tersebut adalah seperti di bawah ini.

(RUANGAN INI DIBIARKAN KOSONG)

imag2

[7] Pada 5 November 2009, Disciplinary Committee memutuskan bahawa Pihak Menuntut tidak lagi sesuai untuk dibenarkan bekerja dengan Pihak Responden memandangkan beliau telah melanggar peruntukan Seksyen 56(1)(a) Akta BAFIA 1989 dan beliau juga telah mencemar nama baik Responden dengan masalah hutang beliau yang tertunggak dan juga tindakan undang-undang yang masih tergantung disamping kegagalan beliau mengisytiharkan kesusahan kewangan beliau yang serius kepada Piihak Responden sepertimana yang diperlukan mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan. Keputusan tersebut diperturunkan di bawah ini untuk kemudahan rujukan.

(RUANGAN INI DIBIARKAN KOSONG)

image4

[8] Melalui surat bertarikh 9 November 2009 (m.s 30 COB-1), Pihak Menuntut dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatan beliau dengan Pihak Responden. Pihak Menuntut seterusnya telah mengemukakan rayuan untuk dikembalikan ke jawatan asal melalui surat bertarikh 14 April 2010 (m.s 31-32 COB-1). Melalui surat bertarikh 14 Mei 2010 (m.s 33 COB-1), Pihak Responden memaklumkan kepada Pihak Menuntut bahawa mereka tidak dapat mengembalikan Pihak Menuntut ke jawatan asal beliau kerana tindakan ini jelas melanggar peruntukan di bawah Akta BAFIA memandangkan status kebankrapan Pihak Menuntut, namun begitu Pihak Responden bersimpati dengan Pihak Menuntut dan bersetuju untuk memberi masa sehingga 31 Ogos 2010 bagi membolehkan Pihak Menuntut mengenepikan Perintah Penerimaan dan Perintah Penghakiman tersebut. Surat-surat tersebut adalah seperti yang dikemukakan dibawah ini.

(RUANGAN INI DIBIARKAN KOSONG)

imag5

1

3

image1

[9] Walau bagaimanapun dalam tempoh masa yang telah diberikan oleh Pihak Responden itu, Pihak Menuntut telah gagal untuk mengenepikan status kebankrapan beliau, dengan itu keputusan Pihak Responden untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut seperti yang dinyatakan dalam surat bertarikh 9 November 2009 itu adalah dikekalkan.

[10] Tidak berpuashati dengan keputusan Pihak Responden, Pihak Menuntut telah membuat representasi ke Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Seksyen 20 (1), Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Rundingan damai yang dijalankan telah gagal mencapai penyelesaian, dengan itu perkara ini telah dirujuk kepada Y.B. Menteri dan Y.B. Menteri setelah menimbang rayuan dari Pihak Menuntut telah merujuk perkara pembuangan kerja Pihak Menuntut ini ke Mahkamah Perusahaan untuk satu keputusan dibuat mengenainya.

[11] Pihak Menuntut di para 5.0 Pernyata Kesnya menyatakan tindakan kebankrapan keatas beliau telahpun di diketepikan dan sekiranya Pihak Responden tidak bertindak secara terburu-buru dan tanpa bertimbang rasa, maka Pihak Menuntut sudah tentu masih lagi dapat berkhidmat dengan Pihak Responden. Pihak Menuntut juga mendakwa Pihak Responden bergantung atas perkara-perkara teknikal semata-mata untuk menamatkan perkhidmatan beliau tanpa mengambil kira rekod perkhidmatan Pihak Menuntut yang bersih. Selanjutnya menurut Pihak Menuntut lagi, Pihak Responden gagal untuk menimbang fakta bahawa Pihak Menuntut adalah seorang penjamin sahaja dan bukannya peminjam utama dalam pinjaman yang akhirnya membawa kepada beliau diisytiharkan menjadi seorang bankrap. Oleh yang demikian beliau memohon agar beliau dikembalikan ke jawatan asal beliau tanpa sebarang kehilangan dalam perkhidmatan, bayaran gaji kebelakang dan lain-lain relif.

[12] Pihak Responden menegaskan penamatan kerja Pihak Menuntut adalah dengan sebab atau alasan yang adil kerana Pihak Menuntut telah melanggar peruntukan Seksyen 56(1) Akta BAFIA 1989 dan juga telah meletakkan dirinya dalam keadaan kesusahan kewangan yang mengaibkan apabila mempunyai hutang yang masih tertunggak dengan 2 pemiutang lain iaitu Bank Rakyat dan CIMB Bank Berhad.

[13] Pihak Responden juga menegaskan mereka telah memberi peluang dan masa yang mencukupi kepada Pihak Menuntut untuk mengenepikan perintah kebankrapan tersebut sejak Julai 2009 sehingga 31 Ogos 2010, malangnya Pihak Menuntut gagal berbuat demikian, oleh itu Pihak Responden tidak mempunyai pilihan lain selain dari menamatkan perkhidmatan beliau.

Isu

[14] Adalah tidak dinafikan oleh kedua-dua pihak bahawa Pihak Menuntut telah ditamatkan perkhidmatan pada 9 November 2009 dan ini jelas dapat dilihat melalui surat bertarikh 9 November 2009 (m.s 30 COB-1). Oleh itu tugas Mahkamah kini adalah untuk menimbang samada penamatan kerja tersebut adalah dengan sebab atau alasan yang adil.

Undang-Undang

[15] Undang-undang adalah mantap bahawa dalam kes-kes pembuangan kerja, beban pembuktian adalah terletak atas Pihak Responden untuk membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa penamatan kerja Pihak Menuntut adalah dengan sebab atau alasan yang adil. Ini adalah seperti yang diputuskan dalam kes Ireka Construction Berhad v Chantiravathan Subramaniam James [1995] 2 ILR 11 iaitu:

" It is a basic principle of industrial law jurisprudence that in dismissal case the employer must produce convincing evidence that the workman committed the offence or offences the workman is alleged to have committed for which he has been dismissed. The burden of proof lies on the employer to prove that he has just cause or excuse for taking the decision to impose the disciplinary measures of dismissal upon the employees. The just cause must be either a misconduct, negligence or poor performance based on the facts of the case."

[16]Mahkamah Rayuan dalam kes Telekom Malaysia Kawasan Utara v Krishnan Kutty Sanguni Nair & Anor [2002] 3 CLJ 314, memutuskan standard pembuktian yang yang terletak diatas syarikat adalah berdasarkan imbangan kebarangkalian. Y.A. Abdul Hamid Mohamad, HMR, didalam keputusannya telah memutuskan :

" ... it is quite clear to us that the Industrial Court should not be burdened with the technicalities regarding the standard of proof, the rules of that are applied in a court of law. The Industrial Court should be allowed to conduct its proceedings as a "court of arbitration", and be more flexible in arriving at its decision, so long as it gives special regard to substantial merits and decide a case in accordance with equity and good conscience.

...

Thus, the Industrial Court, when hearing a claim of unjust dismissal, even where the ground is one of dishonest act, including theft, is not required to be satisfied beyond reasonable doubt that the employee has committed the offence.The standard of proof applicable is the civil standard, ie, proof on a balance of probabilities which is flexible so that the degree of probability required is proportionate to the nature and gravity of the issue."

[17] Fungsi Mahkamah Perusahaan dalam kes-kes rujukan dibawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan, 1967 adalah dua hala iaitu menentukan samada salah laku yang dikatakan dilakukan itu telah dibuktikan dan seterusnya samada salah laku yang dibuktikan itu merupakan sebab atau alasan yang adil yang mewajarkan kepada tindakan pembuangan kerja. Mahkamah Persekutuan dalam kes Milan Auto Sdn. Bhd. v Wong Seh Yen [1995] 3 MLJ 537 telah menyatakan:

"... the function of the Industrial Court in dismissal cases on a reference under s.20 is twofold firstly, to determine whether the misconduct complained of by the employer has been established, and secondly whether the proven misconduct constitutes just cause or excuse for the dismissal."

[18] Dalam kes Goon Kwee Phoy v J & P Coats (M) Sdn.Bhd. [1981] 2 MLJ 129 Raja Azlan Shah CJ (DYMM Tuanku ketika itu) telah menyatakan:

" Where representations are made and are referred to the Industrial Court for enquiry, it is the duty of that court to determine whether the termination or dismissal is with or without just cause or excuse. If the employer chooses to give a reason for the action taken by him, the duty of the Industrial Court will be to enquire whether that excuse or reason has or has not been made out. If it finds as a fact that it has not been proved, the inevitable conclusion must be that the termination or dismissal was without just cause or excuse. The proper enquiry of the court is the reason advanced by it and that the court or the High Court cannot go into another reason not relied on by the employer or find one for it."

[19] Dr Dunston Ayadurai dalam bukunya bertajuk Industrial Relations In Malaysia: Law & Practice, 3rd. Edn di m.s. 297 telah menyatakan:

"A workman can seek a remedy under s.20 only if he had been dismissed. More often than not, there is no dispute that there was an actual dismissal of the workman by his employer. The only issue for the Industrial Court to determine is whether the dismissal had been for just cause or excuse, the onus of proving the existence of the same being cast upon the employer."

Kes Pihak Responden

[20] Pihak Responden telah mengemukakan seorang saksi iaitu Encik Abdulalim bin Zakaria, Head of Industrial Relations Department. Mengikut COW-1 walaupun beliau mulai berkhidmat dengan Pihak Responden dalam tahun 2011, tetapi melalui jawatan yang beliau sandang, beliau mempunyai akses kepada semua dokumen dan fail peribadi Pihak Menuntut dan beliau telah meneliti semua dokumen-dokumen berkaitan dengan kes ini dan beliau mempunyai pengetahuan sepenuhnya berkaitan dengan fakta-fakta yang membawa kepada penamatan kerja Pihak Menuntut.

[21] COW-1 selanjutnya menyatakan penamatan kerja Pihak Menuntut adalah kerana beliau telah diisytiharkan menjadi seorang bankrap dan perkara ini tidak dinafikan oleh Pihak Menuntut. Oleh kerana status kebankrapan itu, maka beliau merupakan seorang yang tidak layak (unqualified person) seperti yang ditakrifkan oleh Seksyen 56 Akta BAFIA 1989. Pihak Menuntut juga didapati telah melanggar syarat-syarat dan terma-terma nyata garispanduan yang dikeluarkan oleh Pihak Responden. Mengikut COW-1 lagi, Pihak Menuntut sebagai seorang kakitangan Pihak Responden, adalah tidak dibenarkan untuk dijadikan sebagai seorang bankrap. Pihak Menuntut juga didapati menghadapi masalah kewangan yang boleh mendatangkan keburukan kepada beliau dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai salah seorang pekerja Bank Responden.

[22] COW-1 juga dalam keterangannya menyatakan Pihak Responden telahpun memberi peluang hampir 5 bulan kepada Pihak Menuntut dan beliau juga digantung kerja dengan bayaran gaji penuh untuk mengenepikan perintah kebankrapan tersebut. Menurut beliau lagi Pihak Responden telah menolak rayuan yang dikemukakan oleh Pihak Menuntut melalui surat bertarikh 14 April 2010 kerana ianya dengan jelas melanggar peruntukan Akta BAFIA 1989. Namun begitu Pihak Responden bersedia untuk menimbangkan permohonan untuk pengembalian ke jawatan asal beliau dengan syarat perintah kebankrapan tersebut diketepikan pada atau sebelum 31 Ogos 2010. Namun begitu Pihak Menuntut gagal memberikan sebarang maklum balas kepada Pihak Responden berkaitan statusnya itu sebelum tarikh tersebut, menyebabkan Pihak Responden tidak mempunyai pilihan lain selain dari mengekalkan keputusan mereka sebelum ini iaitu menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut.

[23] COW-1 juga menyatakan sekiranya Pihak Responden tidak mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut setelah mempunyai pengetahuan bahawa Pihak Menuntut telah diisytiharkan menjadi seorang bankrap, maka Pihak Responden melakukan satu kesalahan dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh di denda tidak melebihi RM500,000.00 seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 104 Akta BAFIA 1989.

Kes Pihak Menuntut

[24] Pihak Menuntut dalam keterangannya menyatakan beliau telah ditamatkan perkhidmatan pada 9 November 2009 kerana beliau telah disytiharkan menjadi bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 10 Jun 2009. Pihak Menuntut menjelaskan beliau hanya menjadi seorang penjamin kepada ahli keluarga beliau yang telah membuat pinjaman dengan Alliance Bank. Beliau telah digantung kerja melalui surat bertarikh 31 Julai 2009. Setelah itu beliau telah menulis kepada Pihak Responden melalui surat bertarikh 11 Ogos 2009 memohon agar keputusan penggantungan kerja dipertimbangakan semula kerana beliau telahpun melantik peguam untuk memfailkan permohonan untuk mengenepikan Perintah Penerimaan dan Perintah Penghakiman yang dibuat terhadap beliau itu. Namun begitu Pihak Responden telah mengeluarkan surat tunjuk sebab bertarikh 12 Oktober 2009 . Pihak Menuntut telah menjawab kepada surat tunjuk sebab ini melalui surat bertarikh 26 Oktober 2009 memohon agar Pihak Responden menangguhkan sebarang tindakan disiplin keatas beliau sementara menunggu keputusan permohonan beliau. Melalui surat bertarikh 9 November 2009 beliau dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatan beliau yang akan berkuatkuasa dengan serta merta. Pihak Menuntut kemudiannya telah mengemukakan rayuan beliau kepada CEO Pihak Responden melalui surat bertarikh 14 April 2010 (m.s 31 COB-1). Beliau telah menerima jawapan dari Pihak Responden melalui surat bertarikh 14 Mei 2010 yang menyatakan Pihak Responden tidak dapat mengembalikan beliau ke jawatan asal beliau kerana Pihak Menuntut didapati telah melakukan perlanggaran peruntukan Akta BAFIA, namun begitu atas rasa simpati, Pihak Responden telah bersetuju untuk memberi masa sehingga 31 Ogos 2010 kepada Pihak Menuntut untuk membolehkan beliau mengenepikan perintah kebankrapan tersebut.

[25] Mengikut Pihak Menuntut lagi, beliau telah berjaya mengenepikan Perintah Penerimaan dan Perintah Penghakiman pada 25 November 2010. Oleh itu Pihak Responden bergantung kepada isu-isu teknikal semata-mata apabila memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut.

Penilaian Keterangan Dan Dapatan Mahkamah

[26] Pihak Menuntut telah ditamatkan perkhidmatannya secara terus (summarily dismissed) oleh Pihak Responden melalui surat bertarikh 9 November 2009.

[27] Pihak Menuntut telah ditamatkan perkhidmatannya kerana beliau telah diisytihar menjadi seorang bankrap pada 10 Jun 2009 dan gagal untuk mengenepikan perintah kebankrapan tersebut walaupun beliau telah diberi peluang oleh Pihak Responden untuk mengenepikan perintah kebankrapan tersebut. Keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut adalah diambil selaras dengan peruntukan Seksyen 56 Akta BAFIA 1989. Beban terletak diatas Pihak Responden untuk membuktikan pada masa keputusan tersebut, Pihak Menuntut adalah seorang bankrap.

[28] Seksyen 56 Akta BAFIA 1989 memperuntukkan seperti berikut:

(1) No person shall be appointed or elected or accept appointment or election as a director, manager, secretary or other officer concerned in the management of a licensed institution:-

(a) if he is bankrupt, has suspended payments or has compounded with his creditors, whether within or outside Malaysia;

(b) ....

(c) ....

(d) ....

(e) ....

(2) ....

(3) Where a person who is a director, manager, secretary or the officer concerned in the management of a licensed institution, becomes subject to any of the disqualifications mentioned in sub-secton (1), he shall immediately thereupon cease to hold office and act as such, and the institution concerned shall immediately thereupon terminate his appointment in such capacity.

(4) ....

(5) ....

[29] Dalam kes ini fakta bahawa Pihak Menuntut telah diisytiharkan menjadi seorang bankrap pada 10 Jun 2009 adalah tidak dinafikan. Malah ketika Pihak Responden memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut pada 9 November 2009 dan juga pada 31 Ogos 2010 setelah lanjutan masa diberikan kepadanya untuk mengenepikan perintah tersebut, Pihak Menuntut masih merupakan seorang bankrap.

[30] Memandangkan ketika keputusan penamatan tersebut dibuat, Pihak Menuntut masih merupakan seorang bankrap yang masih belum dilepaskan, maka Mahkamah mendapati keputusan Pihak Responden tersebut adalah satu keputusan yang wajar selaras dengan peruntukan Seksyen 56(3) Akta BAFIA.

[31] Pihak Menuntut dalam Pernyataan Kesnya membangkitkan isu bahawa keputusan Pihak Responden ini adalah satu keputusan yang agak kejam tanpa mengambilkira fakta bahawa beliau telah diisytiharkan menjadi seorang bankrap kerana menjadi seorang penjamin sahaja. Setelah meneliti keterangan dan dokumen-dokumen yang dikemukakan, Mahkamah mendapati dakwaan Pihak Menuntut ini adalah langsung tidak berasas. Dari keterangan yang dikemukakan, jelas menunjukkan Pihak Responden telahpun memberi peluang kepada Pihak Menuntut dengan memberi masa sehinga 31 Ogos 2010 untuk membolehkan beliau mengenepikan perintah kebankrapan yang dijatuhkan keatasnya. Malangnya dalam tempoh tersebut Pihak Menuntut gagal mengenepikan perintah kebankrapan itu, oleh itu Mahkamah mendapati keputusan Pihak Responden adalah wajar kerana Pihak Responden sememangnya tidak mempunyai pilihan lain di bawah Seksyen 56(3) Akta BAFIA selain dari menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut dengan Pihak Responden.

[32] Pihak Responden dalam kes ini adalah sebuah institusi kewangan yang merupakan satu sektor yang khas dimana mereka memegang amanah dan kepercayaan penyimpan-penyimpan untuk menyimpan wang mereka dan bertanggungjawab dalam menguruskan penyimpanan wang tersebut. Oleh yang demikian Pihak Menuntut sebagai salah seorang kakitangan Pihak Responden perlu mengekalkan standard kelakuan dan intergriti yang tinggi apabila menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Sekiranya kelakuan dan intergriti yang tinggi ini tidak ditunjukkan dan diamalkan oleh kakitangan bank, maka ianya sudah tentu akan menjejaskan imej dan nama baik bank dan ini akhirnya akan memberi kesan yang negative kepada bank kerana pelanggan-pelanggan mereka sudah tentu tidak akan menaruh kepercayaan kepada mereka. Ini akan mengakibatkan pelanggan tidak lagi ingin berurusan dengan bank tersebut dan memilih untuk mendapatkan perkhidmatan dengan institusi kewangan yang lain dan ini akhirnya sudah tentu akan merugikan bank tersebut.

[33] Dalam kes Perwira Habib Bank (M) Bhd. v Tan Teng seng @ Lim Teng Ho [1997]2 ILR 839 telah diputuskan:

"The banking industrial belongs to a special kind of business and services rendered to the public. It is entrusted with other people's money. Therefore a high quality order is expected of its staff to win public confidence. The bank demands from its employees absolute honesty and impeccability. Hence considering the very nature of the banking industry and the position of trust and confidence that was reposed on him by the bank, it would not be wrong for the court to classify the claimant's acts of misconduct as one that justified immediate dismissal by his employer. Non-compliance of procedures are serious misconducts that would warrant dismissal in the banking and financial institutions. A high standard of care is expected from employees working in such industries, which deal with public funds. The court recalls the claimant testifying that he knew the procedures but nevertheless did not carry them out, as he trusted ... His acts of omissions amounts to a breach of the confidential relationship between master and servant such as would render the servant unfit for continuance in bank's employment and the bank has the right to dismisshim. "

[34] Pandangan yang sama dapat dilihat dalam kes Southern Bank Bhd. V Azmi Ali [2003] 1 ILR 614 dimana telah diputuskan:

"The court is of the view that honesty and integrity are amongst the key characteristics that any employee should possess, no matter what form of employment the employee is engaged in. However, such characteristic are of utmost importance in the banking industry as the bank is the custodian of public money and property."

[35] Selain dari itu berdasarkan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Pihak Responden, ianya dengan jelas menyatakan jika seseorang pekerja telah dijadikan sebagai seorang seorang bankrap, maka ia akan dianggap sebagai telah melakukan perbuatan salah laku yang barkaitan dengan moral pekerja tersebut. Pihak Menuntut telahpun membuat pengakuan telah membaca dan memahami kandungan garispanduan (Code of Conduct) tersebut dan ini dapat dilihat di m.s 40 COB-2. Pihak Menuntut juga semasa memberi keterangan di Mahkamah mengakui beliau mempunyai pengetahuan mengenai garis panduan ini dan juga garispanduan Bank Negara Malaysia berkaitan dengan Code of Conduct (GP7). Selaras dengan GP7 ini dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pihak Responden, semua kakitangan bank termasuklah Pihak Menuntut perlu menguruskan kedudukan kewangan mereka dengan baik kerana sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan yang serius, maka ianya akan menjejaskan prestasi kerja mereka dan secara tidak langsung akan menjejaskan imej dan reputasi bank . Para 2 garis panduan tersebut juga dengan tegasnya melarang kakitangan bank untuk menjadi penjamin dan sekiranya mereka masih memilih untuk berbuat demikian, mereka perlulah menimbang akibat yang akan berlaku sekiranya peminjam utama engkar dalam membuat bayaran pinjaman tersebut.

[36] Peguam Pihak Menuntut dalam hujahannya telah membangkitkan isu waiver. Mengikut peguam melalui surat bertarikh 14 Mei 2010, Pihak Responden bersetuju untuk mengembalikan Pihak Menuntut ke jawatan asal beliau tetapi tidak akan membayar gaji kebelakang atau tunggakan gaji sekiranya Pihak Menuntut berjaya mengenepikan perintah kebankrapan yang dijatuhkan keatasnya. Dan dalam kes ini perintah kebankrapan telahpun berjaya diketepikan pada 25 November 2010. Walupun Pihak Responden mempunyai pengetahuan mengenai permohonan untuk mengenepikan perintah tersebut, namun mereka telah menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut.

[37] Isu waiver ini adalah satu isu yang baru dan ianya tidak pernah diplidkan oleh Pihak Menuntut dalam Pernyataan Kesnya. Malah semasa COW-1 memberi keterangan, COW-1 langsung tidak disoal berkaitan dengan isu ini. Undang-undang adalah jelas iaitu pihak-pihak adalah terikat dengan pliding mereka dan mereka tidak boleh membangkitkan apa-apa isu yang tidak diplidkan oleh mereka.

[38] Berkaitan dengan peruntukan Seksyen 30 (5) Akta Perhubungan Perusahaan, Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Pihak Responden iaitu peruntukan ini adalah terpakai untuk kedua-dua pihak yang hadir di hadapan Mahkamah. Adalah menjadi kepentingan orang awam untuk pihak bank mengambil pekerja-pekerja yang mempunyai intergriti dan amanah yang tinggi agar pelanggan-pelanggan mempunyai kepercayaan sepenuhnya kepada Pihak Responden.

[39] Setelah meneliti keterangan-keterangan dan juga dokumen-dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan kes ini, Mahkamah mendapati keputusan Pihak Responden untuk menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut adalah satu keputusan yang wajar setelah melihat kepada salah laku yang telah dilakukan oleh Pihak Menuntut.

Kesimpulan

[40] Sebagai kesimpulan, setelah mengambilkira semua keteranganketerangan dan juga hujahan-hujahan bertulis yang dikemukakan di Mahkamah dan pada masa yang sama kepada peruntukan seksyen 30(5) Akta, untuk bertindak mengikut ekuiti, hati nurani dan merit kes tanpa memikirkan kepada perkara-perkara teknikal dan berbentuk undangundang, Mahkamah memutuskan Pihak Responden telah Berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa penamatan kerja Pihak Menuntut telah dibuat dengan sebab atau alasan yang adil. Dengan itu Mahkamah menolak tuntutan Pihak Menuntut.

DIPERTURUNKAN PADA 16 APRIL 2015.

~ SIGNED ~

DATO' RASIDAH BINTI HAJI CHIK
PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK

Dato' Ajit Singh Jessy, Messrs Jessy & Associates, bagi Pihak Menuntut

Ms. Sunita Ruthram, Messrs Sunitha Ruthram & Co., bagi Pihak Responden

Notice: The Publishers of MLTIC acknowledge the permission granted by the relevant official/original source for the reproduction of the above/attached materials. You shall not reproduce the above/attached materials in whole or in part without the prior written consent of the Publishers and/or the original/official source. Neither the Publishers nor the official/original source will be liable for any loss, injury, claim, liability, or damage caused directly, indirectly or incidentally to errors in or omissions from the above/attached materials. The Publishers and the official/original source also disclaim and exclude all liabilities in respect of anything done or omitted to be done in reliance upon the whole or any part of the above/attached materials. The access to, and the use of, MLTIC and contents herein are subject to the Terms of Use.